Tikar
Mengkuang/Pandan
Daun-daun
pandan atau mengkuang yang cukup tua dipotong dari batang pokoknya sehelai demi
sehelai. Kemudian pangkalnya diratakan dan hujungnya dipotong sama panjang.
Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara sehingga layu dan dibuang
tulang belakang dan durinya dengan alat yang dipanggil jangka. Cara anyaman
tikar mempunyai pelbagai corak dan motif. Diantaranya adalah dikenali sebagai
kelarai. Semua jenis kelarai adalah berunsurkan alam semulajadi iaitu seperti
tumbuh-tumbuhan, bunga, fauna dan sebagainya.
Unsur-unsur
tumbuhan seperti akar, pucuk rebung dan tampuk (jantung pisang, manggis,
pinang) selalu digunakan. Daripada unsur bunga pula ia menggunakan motif bunga
tanjung, bunga melur dan bunga durian. Unsur-unsur fauna pula ada motif
berbentuk anak ikan, kepala gajah, tulang ikan dan mata punai. Akhir sekali,
bentuk bebas dengan motif seperti kelarai belah ketupat, kelarai beras patah
dan kelarai madu manis.
Tikar
mengkuang yang lebar bilah anyamannya (tikar bangkar) biasanya diperlakukan
untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran, melapik punggung di
dangau dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak
dicelupkan warna, berbanding dengan tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan
tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak menarik dan
berwarna-warni.
Pada
kebiasaannya, tikar mengkuang/pandan yang dianyam berwarna-warni akan
diletakkan di dalam bilik tidur kerana ia menyerlahkan lagi kecantikkan bilik
tersebut.
Tikar
Rotan
Anyaman
rotan merupakan sejenis anyaman yang mendapat sambutan ramai kerana keunikan
dan hasilnya yang halus. Ia senang diperolehi dan pembuatan kraftangan rotan
mendapat sambutan yang menggalakkan dan semakin popular..
Cara
menganyam rotan tidak banyak bezanya dengan anyaman buluh. Rotan yang telah
agak matang sahaja akan ditebang untuk membuat tikar. Batang-batang rotan
berkenaan akan dikumpul untuk dikerat bagi memudahkan proses menganyam. Batang
rotan yang telah dikerat akan dibelah-belah dalam saiz yang lebih kecil.
Belahan
rotan tersebut akan diraut supaya menjadi lebih nipis, licin dan mudah
dilentur. Setelah diraut, belahan tersebut telah sedia untuk dianyam. Anyaman
tikar rotan sama juga dengan anyaman tikar pandan, mengkuang dan buluh. Proses
terakhir untuk anyaman rotan adalah dengan menyapu syelek pada seluruh bahagian
anyaman untuk kelihatan lebih cantik dan berkilat.
Anyaman
Rotan
Rotan
merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh
liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu,
rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya.
Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap
paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan
potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun
kebelakangan
rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil
sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional
termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional
seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular
sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.
Memproses
Bahan
Batang
rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang
supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat
yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus
supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk
memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.
Rotan
yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin
dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara
rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau
dibelah.
sumber : Miss Kiw1