Monday, September 10, 2012

Seni Kraf Anyaman




Tikar Mengkuang/Pandan

Daun-daun pandan atau mengkuang yang cukup tua dipotong dari batang pokoknya sehelai demi sehelai. Kemudian pangkalnya diratakan dan hujungnya dipotong sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara sehingga layu dan dibuang tulang belakang dan durinya dengan alat yang dipanggil jangka. Cara anyaman tikar mempunyai pelbagai corak dan motif. Diantaranya adalah dikenali sebagai kelarai. Semua jenis kelarai adalah berunsurkan alam semulajadi iaitu seperti tumbuh-tumbuhan, bunga, fauna dan sebagainya.

Unsur-unsur tumbuhan seperti akar, pucuk rebung dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang) selalu digunakan. Daripada unsur bunga pula ia menggunakan motif bunga tanjung, bunga melur dan bunga durian. Unsur-unsur fauna pula ada motif berbentuk anak ikan, kepala gajah, tulang ikan dan mata punai. Akhir sekali, bentuk bebas dengan motif seperti kelarai belah ketupat, kelarai beras patah dan kelarai madu manis.

Tikar mengkuang yang lebar bilah anyamannya (tikar bangkar) biasanya diperlakukan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran, melapik punggung di dangau dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berbanding dengan tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak menarik dan berwarna-warni.

Pada kebiasaannya, tikar mengkuang/pandan yang dianyam berwarna-warni akan diletakkan di dalam bilik tidur kerana ia menyerlahkan lagi kecantikkan bilik tersebut.


Tikar Rotan

Anyaman rotan merupakan sejenis anyaman yang mendapat sambutan ramai kerana keunikan dan hasilnya yang halus. Ia senang diperolehi dan pembuatan kraftangan rotan mendapat sambutan yang menggalakkan dan semakin popular..

Cara menganyam rotan tidak banyak bezanya dengan anyaman buluh. Rotan yang telah agak matang sahaja akan ditebang untuk membuat tikar. Batang-batang rotan berkenaan akan dikumpul untuk dikerat bagi memudahkan proses menganyam. Batang rotan yang telah dikerat akan dibelah-belah dalam saiz yang lebih kecil.
Belahan rotan tersebut akan diraut supaya menjadi lebih nipis, licin dan mudah dilentur. Setelah diraut, belahan tersebut telah sedia untuk dianyam. Anyaman tikar rotan sama juga dengan anyaman tikar pandan, mengkuang dan buluh. Proses terakhir untuk anyaman rotan adalah dengan menyapu syelek pada seluruh bahagian anyaman untuk kelihatan lebih cantik dan berkilat.


Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.

Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah.

sumber : Miss Kiw1

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...